Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, pemeriksaan dan kesihatan seksual merupakan salah satu topik yang tabu dan jarang dibahas di negara kita. Namun begitu, dengan peredaran masa dan teknologi, topik ini seharusnya menjadi perbualan untuk meningkatkan kesedaran terutama sekali untuk penyakit kanser serviks dan kanser prostat.
Kajian terkini menyatakan bahawa kanser serviks merupakan satu dalam tiga kanser yang paling kerap berlaku di kalangan wanita di Malaysia. Lebih 700 kes baharu kanser serviks dikesan di Malaysia pada setiap tahun dengan 40% kes dikesan pada Tahap 3 dan 4, menurut Data Kanser Malaysia pada 2019.
Manakala kanser prostat juga merupakan antara kanser yang kerap dihidapi oleh kalangan lelaki Malaysia, diikuti oleh kanser kolokteral dan kanser paru paru. Lelaki yang berumur 60 ke atas adalah lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini. Oleh itu, kita haruslah mementingkan kesedaran berkenaan dua jenis kanser ini untuk mengesan tanda tanda awal dan merawatnya dengan segera.
Kanser Serviks (Pangkal Rahim)
Serviks merupakan kawasan yang berada di bahagian bawah rahim dan disambung terus ke bahagian faraj untuk membentuk saluran kelahiran. Kanser pangkal rahim bermula apabila sel yang sihat dalam serviks mengalami perubahan ataupun mutasi di dalam DNA.
Sel yang sihat akan berkembang dan membiak mengikut kadar yang normal, dan kemudiannya mati mengikut waktu yang ditetapkan. Mutasi yang berlaku menyebabkan sel-sel ini untuk berkembang di luar kawalan dan sel-sel ini tidak mati seperti normal. Sel yang berlebihan ini akan membentuk tumor dan sel kanser akan menyerang sel tisu yang terdekat dan boleh memisahkan tumor ini kepada metastasize yang akan merebak dalam badan.
Jenis-jenis kanser serviks
Perubahan pada sel serviks sebelum menjadi kanser
- Atypia – Perubahan kecil pada sel yang boleh dikesan melalui ujian pap smear. Keadaan ini boleh berubah menjadi bertambah teruk ataupun pulih seperti biasa. Bagi pesakit yang mempunyai perubahan atipikal dalam ujian pap smear mereka, dinasihatkan agar mereka mengulangi semula ujian ini dalam masa enam bulan akan datang untuk melihat sebarang perubahan.
- Dysplasia – Perubahan yang abnormal dalam sel di pangkal rahim. Juga dikenali sebagai Cervical Intraepithelial Neoplasia (CIN) dan Squamous Intraepithelial Lesion (SIL).
Kini, terdapat vaksin yang boleh membantu untuk melindungi wanita daripada jangkitan papillomavirus yang boleh menyebabkan kanser dan ini dapat mengurangkan risiko kanser serviks.
.
Punca dan Faktor Risiko Kanser Serviks
- Jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) – HPV adalah salah satu punca utama bagi wanita yang mendapat kanser serviks. Virus ini merebak melalui hubungan seks. Faktor yang meningkatkan risiko tercemar dengan HPV adalah aktif dalam aktiviti seksual, mempunyai ramai pasangan seks (atau hubungan seksual dengan lelaki yang mempunyai ramai pasangan seks) dan / atau hubungan seksual dengan lelaki yang ada ketuat (genital warts) di penis.
- Jangkitan Human Immunodeficiency Virus (HIV) – HIV adalah salah satu virus yang boleh melemahkan imun sistem yang akan meningkatkan risiko jangkitan kepada pelbagai penyakit.
- Herpes – Jangkitan virus herpes simplex pada bahagian kemaluan.
- Ubatan – Pengambilan ubat Diethylstilboestrol (DES) bagi ibu mengandung semasa hamil untuk mengelakkan keguguran boleh merisikokan anak perempuan untuk mendapat kanser serviks
- Merokok – Meningkatkan risiko barah pangkal rahim sebanyak empat kali ganda.
Gejala Kanser Serviks
Pesakit yang menghidapi kanser serviks pada tahap awal selalunya tidak mengalami sebarang gejala. Gejala yang lebih jelas selalunya boleh dilihat pada pesakit kanser serviks pada tahap yang lebih tinggi, seperti:
- Tompokan darah atau sedikit pendarahan antara tempoh kering haid atau selepas haid
- Pendarahan haid berpanjangan dan banyak daripada biasa.
- Pendarahan selepas putus haid
- Penambahan lelehan dari faraj
- Kesakitan semasa melakukan hubungan seks
- Pendarahan selepas menopause
- Sakit di bahagian abdomen
Pemeriksaan dan Diagnosis
- Ujian Papanicolaou (Pap) smear – Semasa ujian pap smear, sejenis alat iaitu spekulum akan dimasukkan ke dalam faraj di mana ia membuka ruang faraj. Seterusnya, doktor akan mengambil sampel sel dari bahagian serviks dengan menggunakan spatula, dan hantarkan sampel tersebut ke makmal patologi untuk proses penilaian.
Para wanita dinasihatkan untuk menjalani ujian pap smear setiap tahun, terutama sekali jika anda aktif secara seksual. Jika dua daripada keputusan pap smear anda negatif, dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan setiap 3 tahun sekali.
- Kolposkopi adalah ujian dimana alat khas yang dipanggil colposcopy (alat membesarkan imej sel pangkal rahim dan faraj, sama seperti mikroskop) digunakan. Sampel tisu (biopsi) daripada permukaan luka yang abnormal diambil untuk membantu ujian diagnosis untuk kanser serviks mikro-invasif. Jika kanser serviks berunsur invasif telah didiagnos, ujian lain seperti imbas CT dan pielogram intravena akan dijalankan.
Pencegahan Kanser Serviks
Antara pencegahan yang terbaik untuk kanser serviks adalah dengan mengambil vaksin yang boleh membantu melawan jangkitan Human Papillomavirus (HPV).
Walaubagaimanapun, pencegahan sekunder boleh dilakukan dengan pemeriksaan dengan pakar perubatan kerana vaksin HPV tidak meliputi semua rangkaian virus. Ujian pap smear adalah salah satu pemeriksaan yang membantu dalam mengesan perubahan prakanser sebelum terlambat.
Wanita yang mengalami sebarang perubahan signifikan semasa pemeriksaan perlu membuat temujanji susulan untuk diagnosis dan rawatan, untuk mencegah sebarang perkembangan kanser atau untuk merawat kanser pada peringkat awal.
Kanser prostat
Kanser prostat terjadi apabila wujudnya sel yang tidak normal di dalam kelenjar prostat. Kelenjar prostat terletak di bawah pundi kencing yang berfungsi untuk menghasilkan air mani dan mengawal aliran air kencing. Walaupun kanser prostat agak mengambil masa untuk merebak, pencegahan dan pengesanan awal amatlah penting untuk melawan kanser ini.
Jenis-jenis Kanser Prostat
- Adenokarsinoma
Adenokarsinoma adalah kanser prostat yang paling kerap berlaku, merujuk kepada kanser yang berlaku pada sel kelenjar di dalam prostat.
Adenokarsinoma tidak spesifik kepada kanser prostat sahaja. Ini kerana, kanser organ lain seperti payudara, kolorektal dan peparu turut mempunyai perubahan kanser jenis ini.
- Sarkoma
Berbeza dengan adenokarsinoma, sarcomas berlaku di dalam sel otot lembut yang berada dalam prostat, ataupun dikenali sebagai sel mesenkimal. Kebiasaannya, kanser prostat jenis ini lebih kerap berlaku kepada lelaki yang berumur 35 – 60 tahun ke atas, dan kepada kanak kanak namun kes ini jarang berlaku.
- Tumor Neuroendokrin (NETs)
Tumor Neuroendokrin (NETs) adalah kanser prostat yang lebih agresif yang selalunya berlaku pada fasa-fasa terakhir kanser. Tumor bentuk ini boleh ditemui dalam sistem neuroendokrin, yang terdiri daripada are sel-sel saraf dan kelenjar yang berfungsi untuk membina dan merembeskan hormon ke dalam salur darah. NET adalah bersifat keturunan dan jarang sekali berlaku.
- Karsinoma Sel Kecil
Karsinoma sel kecil adalah sama seperti NET, dimana ia adalah sejenis kanser neuroendokrin hanya menyumbang kurang daripada 1% daripada semua kanser prostat. Kanser sel kecil prostat sangat berbeza daripada jenis kanser prostat yang lain kerana ia berkambang dengan lebih cepat dan mampu merebak kepada bahagian badan yang lain.
- Kanser Prostat Lanjutan
Kebiasaannya, jika kanser prostat telah mencapai tahap ini, bermakna kanser sel yang ada telah mula merebak ke bahagian badan yang lain. Individu yang mengalami kanser prostat lanjutan atau metastatik memerlukan terapi dan rawatan yang lebih spesifik dan sistemik.
Punca dan Faktor Risiko Kanser Prostat
Mengikut kajian, kanser prostat malangnya tidak boleh dicegah. Pesakit yang didiagnos hanya akan diberikan rawatan yang berkaitan juga dinasihatkan untuk megubaha cara hidup mereka untuk meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan. Berikut merupakan faktor-faktor utama yang boleh membawa kepada kanser prostat.
- Usia
- Jantina
- Bangsa
- Sejarah atau latar belakang keluarga
- Obesiti
- Hormon
- Mutasi gen yang diwarisi (BRCA1 atau BRCA2)
- Geografi
- Gaya hidup
Gejala Kanser Prostat
Pesakit yang menghidapi kanser prostat pada tahap awal selalunya tidak mengalami sebarang gejala. Gejala yang lebih jelas selalunya boleh dilihat pada pesakit kanser prostat pada tahap yang lebih tinggi, seperti:
- Kesukaran untuk membuang air kecil
- Kesukaran untuk mengawal kencing (mula atau habis) atau kerap kencing
- Darah di dalam air kencing
- Sakit pada bahagian belakang, pinggul atau tulang rusuk
- Kegagalan ereksi tanpa sebab yang tertentu
Pemeriksaan dan Diagnosis
- Pemeriksaan Rektum Secara Digital (DRE)
Dalam proses ini, doktor akan merasa tekstur kelenjar prostat dengan meletakkan jari bahagian rektum. Proses ini dilakukan untuk memeriksa bahagian bawah rektum, pelvis dan bawah perut untuk mengesan kanser atau masalah kesihatan lain. Selalunya kaedah ini digunakan untuk mengesan nodul yang abnormal pada prostat, tetapi ia juga boleh digunakan mengesan ketidakseragaman pada organ reproduksi wanita ataupun bahagian usus.
- Ujian darah untuk Antigen Khusus Prostat (PSA)
Sampel darah dari saluran darah diambil and diuji untuk PSA, sejenis protein yang dirembes oleh kelenjar prostat yang bertanggungjawab untuk menyimpan air mani dalam bentuk cecair. Ujian ini kemudiannya akan menentukan paras dan kategori PSA. Paras PSA yang tinggi daripada normal boleh menjadi tanda kemungkinan kanser prostat.
- Biopsi Prostat
Biopsi yang berpandukan ultrasound boleh dijalankan untuk menentukan keberadaan sel kanser di dalam prostat dengan mengambil sedikit sampel tisu daripada kelenjar prostat dan prosedur ini mungkin dilakukan di bawah pengaruh anestesia lokal atau am bergantung pada sampel yang diperlukan.
- Imbasan MRI Prostat
Pencegahan Kanser Prostat
- Mengekalkan berat badan yang sihat dengan menjaga diet dan melakukan aktiviti senam di waktu lapang.
- Mengambil suplemen tambahan seperti Vitamin D
Berdasarkan kajian, lelaki yang mempunyai tahap vitamin D yang sangat rendah (8% lelaki) berisiko kira-kira dua kali ganda untuk didiagnosis dengan kanser prostat yang lebih agresif.
- Elakkan merokok
Rujukan:
Dr. Arief Budiman Abdul Aziz. (2012, April). Kanser Pangkal Rahim (Serviks). MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/kanser-pangkal-rahim/
Beacon Hospital. (n.a). Cervical Cancer. https://bit.ly/3b3wgAN
Mayo Clinic Staff. (n.a) Cervical Cancer. Mayo Clinic. https://mayocl.in/3OsNNjs
Raihan Rahman. (n.a). Prostate Cancer 101: Symptoms, Treatment, Causes & Prevention. Homage. https://www.homage.com.my/health/prostate-cancer/
Mohammad Nazri Zulkafli. (2021, September). Apa Itu Kanser Prostat: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu. Hello Doktor. https://hellodoktor.com/urologi/prostat/apa-itu-prostat/
Gleneagles Hospital Penang. (n.a). Prostate Cancer. Gleneagles Hospital Malaysia. https://gleneagles.com.my/articles/prostate-cancer